Dr. Mahathir Masuk IJN, Perlu Rehat

Tun Dr. Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara malam tadi akibat jangkitan paru-paru berikutan batuk.

Melalui posting di Facebook anaknya, Marina Mahathir berkata, keadaan ayahnya stabil dan memerlukan rehat.

“Ayah dalam keadaan baik. Hanya perlukan rehat. Dia akan kembali semula dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam satu kenyataan Institut Janjutng Negara (IJN) memaklumkan, pengerusi Pakatan Harapan itu dimasukkan ke wad biasa untuk rawatan dan pemantauan.

“Dr Mahathir akan dimasukkan ke wad beberapa hari bagi membolehkan rawatan dan pemantauan dibuat. Hanya keluarga terdekat sahaja dibenarkan melawat,” kata kenyataan itu.

Mahathir, 92, pernah dimasukkan dua kali ke IJN iaitu kali terakhir pada 9 Ogos, 2016 dan pada 16 November 2013.

Pada 1989, beliau pernah mengalami masalah jantung dan menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN.

Beliau turut menjalani pembedahan pintasan jantung kali kedua pada 2007.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mendoakan agar Mahathir cepat pulih. – 10 Februari 2018.