Fokus Utama UMNO Ialah Rakyat, Tidak Peduli Tohmahan Pembangkang

Program Jualan Murah Untuk Rakyat bukan untuk memancing undi sebaliknya bagi menangani isu kos sara hidup rakyat.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, usaha kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela bukan usaha bermusim sebaliknya tanggungjawab itu  dilaksanakan pada setiap masa.

“Program ini dilaksanakan di setiap parlimen di negeri ini bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan mengadakan jualan dengan harga yang lebih murah di pasaran.

“Banyak pihak yang mempertikaikan program ini apabila ia dilaksanakan  hampir dengan pilihanraya. Sebenarnya, program kerajaan  tidak bermusim, kita bekerja  untuk rakyat  tanpa memilih masa tertentu sahaja sebaliknya sentiasa melakukan yang terbaik untuk rakyat,” katanya kepada pemberita pada Program Jualan Murah Untuk Rakyat di Temangan, Machang Kelantan hari ini.

Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, lebih banyak program seumpama itu akan dilaksanakan pada masa akan datang dan berharap  ia akan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.

Dalam pada itu, beliau menyelar tanggapan negatif sesetengah pihak kononnya program tersebut hanya untuk meraih undi rakyat.

“Mereka cuba memutar belit usaha itu semata-mata untuk memburukkan imej kerajaan, namun kita tidak akan peduli segala tohmahan itu kerana fokus utama UMNO ialah rakyat,” katanya. – 10 Februari 2018.