PAS Kaitkan Penarikan Balik Darjah Kebesaran Petanda Politik Husam, Wan Rahim Berakhir

PAS seolah-olah mahu memanipulasikan penarikan balik darjah kebesaran terhadap dua pemimpin parti diKelantan sebagai isu politik yang turut melibatkan istana.

Perkara itu jelas apabila Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi menganggap, tindakan daripada istana itu sebagai petanda karier politik mereka terbabit sudah berakhir di negeri itu malah sekali gus menunjukkan rakyat tidak menerima kewujudan parti berkenaan.

“Saya melihat tindakan dibuat Istana Kelantan dengan menarik balik darjah kebesaran dua pemimpin terbabit adalah petanda mereka tidak diterima Sultan Kelantan dan rakyat negeri itu.

“Secara peribadi, saya berpandangan ia juga menunjukkan Istana Kelantan meminta rakyat negeri terbabit berhati-hati dengan dua individu terbabit, PAN dan rakan mereka dalam Pakatan Harapan,” katanya dalam sidang media sempena minum petang bersama pimpinan PAS di Taman Budiman semalam.

Selasa lalu, Istana Kelantan menarik balik pingat Tauliah Perlantikan Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) (Al-Ismaili II) terhadap Penasihat PAN Kelantan Husam Musa dan Pengerusi PAN Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Penarikan itu dimaklumkan melalui surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan yang memaklumkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menarik balik darjah kebesaran mereka berkuat kuasa 6 Februari lalu.

Mengikut peruntukan Perkara 45(1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, sultan boleh menarik balik darjah kebesaran jika pada pertimbangan baginda ada cukup kesalahan atau dosa yang telah dilakukan oleh penerima darjah kebesaran yang mengharuskan diperbuat penarikan balik darjah kebesaran itu.

Penarikan semula pingat kebesaran istana Kelantan bukan sesuatu yang baharu di negeri itu.

Sultan Kelantan pernah melakukan penarikan balik darjah kebesaran negeri pada 2010 membabitkan beberapa individu termasuk Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Datuk Dr. Ibrahim Ali. – 10 Februari 2018.