Relevankah Mahathir Calon PM Tanya Penganalisis

Penarikan balik Darjah Kebesaran Kelantan terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad oleh istana Kelantan membawa persoalan apakah relevan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dicalon sebagai sebagai Perdana Menteri sekiranya gabugan pembangkang berjaya membentuk kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan), Universiti Utara Malaysia, Dr. Kamarul Zaman Yusoff dalam satu kenyataan yang disiarkan portal rasmi PAS Harakahdaily bertarikh 9 Februari 2018 membawa persoalan itu dengan menggambarkan Mahathir mempunyai cukup kesalahan dan dosa apabila darjah kebesarannya ditarik balik.

“Pertanyaan yang cukup relevan sekarang ialah apakah masih viable dan feasible lagi hasrat PH untuk menobatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dalam keadaan pihak yang mempunyai budi bicara ke atas perlantikan ini  telah memutuskan bahawa beliau “ada cukup kesalahan atau dosa”?,” katanya sebagaimana disiarkan portal berkenaan.

Kamarul Zaman merujuk Perkara 45(1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan menyebut bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan bolehlah menarik balik mana-mana pangkat atau gelaran atau pingat-pingat kehormatan yang telah dikurniakan kepada mana-mana penerimanya jika pada pertimbangan Baginda ada cukup kesalahan atau dosa yang telah dilakukan oleh penerimanya yang mengharuskan diperbuat demikian.

Justeru katanya, sudah tentulah tindakan baginda menarik balik Darjah Kerabat kepada Mahathir berpunca daripada pertimbangan baginda bahawa ada cukup kesalahan atau dosa yang telah dilakukan oleh bekas perdana menteri selama 22 tahun itu yang bertepatan pula dengan sumpah baginda untuk memelihara agama Islam dan memerintah secara adil dan aman.

Malah jelasnya lagi, yang menarik balik Darjah Kerabat ini adalah bukan sebarang sultan kerana Sultan Muhammad V adalah Yang di-Pertuan Agong yang mengikut Perkara 32 (1) Perlembagaan Persekutuan, adalah “seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan”.

Sebelum ini istana Kelantan dilaporkan menarik balik Darjah Kerabat terhadap Mahathir.

Mahathir menerima anugerah Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK) Al-Yunusi Kelantan pada April 2002.

Menurut kedudukan di Kelantan, anugerah DK Al-Yunusi itu adalah pingat kebesaran tertinggi dikeluarkan pihak istana negeri terbabit.

Tindakan yang sama turut berlaku kepada Presiden PAN Husam Musa dan pengerusi PAN Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Bagaimanapun untuk rekod penarikan semula pingat kebesaran istana Kelantan itu bukanlah sesuatu yang baharu.

Sultan Kelantan pernah melakukan penarikan balik anugerah itu pada 2010 membabitkan beberapa individu termasuk Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Datuk Dr. Ibrahim Ali. – 10 Februari 2018.