Shahidan Sedia Pertahan Arau, Tidak Gentar Cabaran Hashim

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak gentar dan sedia berhadapan saingan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin di Parlimen Arau dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kesediaan Shahidan yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu sekali gus mengesahkan beliau bakal mempertahankan kerusi panas tersebut dalam pilihan raya nanti.

Shahidan berkata, beliau tidak menghadapi masalah berhadapan dengan sesiapa sahaja di kerusi berkenaan kerana telah mempunyai pengalaman menentang pemimpin tertinggi PAS dalam pilihan raya sebelum-sebelum ini.

“Tidak ada masalah, ini negara demokrasi boleh hadapi sesiapa sahaja hendak lawan. Dahulu saya pernah lawan Muryidul Am PAS sekarang pun sama.

“Saya yakin rakyat mampu membuat penilaian untuk memilih siapa kerana kita telah membuktikan dengan kerja siang dan malam sepanjang tempoh ini.

“Orang yang hendak lawan saya ini (Hashim) tiba-tiba muncul dan kita telah bersedia,” katanya.

Kelmarin Pas Perlis mengesahkan Hashim akan kembali bertanding dalam PRU-14 sebagai calon parti itu di kerusi Parlimen Arau yang sekali gus bakal menyaksikan pertembungan dengan Shahidan sekiranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu mempertahankan kerusi Parlimen Arau pada pilihan raya nanti.

Selain Hashim, Shahidan juga bakal berhadapan dengan calon dari
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang turut akan meletakkan calon bagi mewakili Pakatan Harapan diketuai DAP di kawasan berkenaan.

Untuk rekod, Shahidan pernah menentang bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Dr. Harun Din di Parlimen Arau pada pilihan raya lalu dan berjaya menewaskan pemimpin tertinggi PAS itu dengan majoriti agak selesa. – 10 Februari 2018.