Simulasi PRU UMNO Kelantan Hujung Bulan Ini

UMNO Kelantan akan mengadakan simulasi pilihan raya hujung bulan ini sebagai persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, simulasi itu akan melibatkan seluruh Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Kelantan dan ia adalah antara usaha untuk mendapatkan gambaran awal tentang kelemahan dan kekuatan parti sebelum pilihan raya sebenar.

“Melalui simulasi itu kita akan tahu masalah termasuk berapa ramai yang sudah daftar mengundi, siapa yang sakit, pengundi mengundi di luar Kelantan.

“Banyak kita tahu dan belajar, semangat yang cukup tinggi dalam kalangan rakyat, kita juga dapat kenal pasti kekuatan dan kelemahan,” katanya selepas meninjau perjalanan simulasi pilihan raya  di PDM Jedok, Jeli hari ini.

Menurut Mustapa, simulasi tersebut akan diadakan mengikut sistem Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). – 10 Februari 2018.