BN Perlis Tolak Calon Payung Terjun

Barisan Nasional (BN) Perlis menolak sepenuhnya calon payung terjun yang diketengahkan mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke- 14 (PRU-14).

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pemilihan calon seperti itu bukan sahaja boleh merugikan parti malah dilihat tidak adil kepada rakyat dan mereka yang bekerja keras selama ini.

Katanya, kisah calon payung terjun ini telah beberapa kali berlaku dalam pilihan raya di negeri dan kalau boleh perkara itu perlu dielak pada masa akan datang.

“Kita buat kerja bermatian-matian akhirnya muncul calon payung terjun ini. Saya tidak mahu sebut lagi perkara-perkara lepas tetapi apa yang penting kami menolak calon seperti ini,” katanya.

Dalam pada itu, Shahidan mengingatkan MCA supaya bekerja keras dalam usaha merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Kayangan selain mengekalkan kemenangan BN di kawasan Titi Tinggi pada PRU-14. – 11 Februari 2018.