Pengagihan Kerusi DUN Perlis Juga Masih Tidak Selesai

Seperti Selangor dan beberapa negeri lain, proses pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan Pakatan Harapan di Perlis juga masih belum selesai apabila hanya 70 peratus dimuktamadkan setakat ini.

Timbalan Pengerusi PKR negeri, Chan Ming Kai berkata, bagaimanapun, beliau percaya pengagihan tersebut yang melibatkan kerusi DUN Sena, Pauh, Tambung Tulang, dan Simpang Empat dapat diselesaikan minggu depan.

“Kerusi itu membabitkan PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan PKR. Sehingga kini, 11 daripada keseluruhan 15 DUN di negeri ini telah dimuktamadkan iaitu PKR (tiga), PPBM (tiga), DAP (satu) dan Amanah (empat),” katanya.

Tambah beliau, PKR bakal meletakkan calonnya di DUN Kuala Perlis, Indera Kayangan dan Chuping manakala PPBM pula di Mata Ayer, Kayang serta Guar Sanji.

“Manakala Amanah (PAN) di kawasan Santan, Beseri, Sanglang dan Bintong,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan.

Dalam pada itu katanya, DAP hanya akan bertanding di satu kerusi DUN iaitu Titi Tinggi pada pilihan raya nanti.

“DAP ada meminta tambahan kerusi bagaimanapun hasil perbincangan Pakatan Harapan yang diadakan sebanyak dua kali sebelum ini menyaksikan DAP kekal bertanding di Titi Tinggi,” katanya. – 11 Februari 2018.