Pertikai Yang di-Pertuan Agong, Tindakan Syed Saddiq Tidak Matang

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azlan Man membidas Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang disifatkan sebagai tidak matang apabila mempertikai tindakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V menarik balik Darjah Kerabat (D.K.) Yang Amat Di-Hormati (Al-Yunusi) yang dianugerahkan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dalam masa sama, Azlan juga mengingatkan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) itu supaya lebih memahami tindakan Sultan Kelantan itu yang pastinya sudah melakukan pertimbangan terbaik sebelum menarik balik darjah kebesaran yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri itu.

Katanya, Syed Saddiq seharusnya faham bahawa baginda mempunyai hak untuk menganugerahkan atau menarik balik sesuatu darjah kebesaran itu kepada mana-mana individu yang dirasakan sudah tidak layak memilikinya.

“Saya rasa ini (pertikai keputusan Yang di-Pertuan Agong) sebagai tindakan tidak matang. Jadi kita sendiri boleh menilai keperibadian dia (Syed Saddiq) ini bagaimana melalui tindakan tersebut.

“Syed Saddiq ini dilihat menuntut sesuatu yang dia sendiri tidak faham sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Syed Saddiq yang mempertikaikan keputusan Istana Kelantan melucutkan darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Dr. Mahathir melalui video yang dimuat naik di Twitternya semalam. – 11 Februari 2018.