Tiada Lagi Baiah Cerai Talak Tiga Di Kelantan

Calon wakil rakyat PAS di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak perlu lagi melafazkan baiah cerai talak tiga sebagaimana yang diamalkan oleh PAS negeri itu sejak tahun 2004.

Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali memberitahu, sebaliknya, baiah yang bakal dilafazkan itu nanti adalah selaras dengan PAS Pusat iaitu segala pendapatan mana-mana wakil rakyat yang keluar daripada parti tanpa meletakkan jawatan adalah haram.

Beliau yang juga Pengarah Institut Strategi PAS Pusat berkata, pendekatan tersebut adalah bersesuaian dengan situasi semasa pada hari ini.

“Sudah tidak ada (baiah cerai talak tiga). Baiah itu dulu hanya dibuat untuk Kelantan. Pada pilihan raya akan datang, Kelantan pun sama akan ikut PAS Pusat,” katanya ketika ditemui selepas majlis dialog rakyat ‘Anda Tanya, PAS Jawab’ di Bangunan Koperasi, Medan hari ini.

Sebelum ini, setiap wakil rakyat PAS Kelantan yang mengambil keputusan keluar parti tanpa meletakkan jawatan, secara automatik telah menceraikan isteri masing-masing dengan talak tiga.

Perkara tersebut terkandung dalam lafaz baiah atau sumpah taat setia yang dibuat setiap wakil rakyat PAS di negeri itu sejak 2004 ketika zaman Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan diteruskan sehingga pilihan raya lalu.

Antara wakil rakyat PAS yang melanggar baiah tersebut di Kelantan ialah Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Husam Musa yang kini bersama PAN. – 11 Februari 2018.