PAN Bukan Saingan PAS

Seperti di negeri-negeri lain, PAS Perlis juga percaya PAN bukan saingan sebenar mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) memandangkan parti serpihan itu langsung tidak mempunyai kekuatan khususnya di peringkat akar umbi.

Pesuruhjaya PAS negeri, Mohd. Shukri Ramli berkata, seperti biasa, ancaman sebenar bagi parti itu di Perlis hanyalah Barisan Nasional (BN).

Katanya, PAN yang hanya mempunyai ahli seramai 404 ahli di negeri itu tidak akan mampu menggugat PAS.

“Jumlah ahli PAS di negeri ini yang beralih arah kepada PAN tidak sampai satu peratus malah ramai dalam kalangan mereka sudah kembali kepada PAS. Jadi saya lihat, saingan utama PAS di Perlis ini hanyalah BN,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang berkata, PAS akan bertanding di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu pada pilihan raya nanti. – 12 Februari 2018.