Kelantan Kuatkuasa Zon Bebas Asap Rokok

Bermula 1 Januari lalu Kelantan telah melaksanakan penguatkuasaan sepenuhnya larangan merokok di zon Inisiatif Kelantan Bebas Asap Rokok (IKBAR).

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, ia dibuat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, Akta Makanan 1983.

Katanya, setakat ini sebanyak 86 Notis 32B (merokok di kawasan larangan) sudah dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan negeri bermula awal Januari sehingga 9 Februari 2018.

“Selain itu, 6,060 risalah berkaitan IKBAR juga sudah diedarkan dan 389 premis sudah mempamerkan papan tanda larangan merokok.

“Sebanyak 15 Zon IKBAR telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok iaitu membabitkan tiga zon ekslusif, tujuh zon inisiatif dan selebihnya lain-lain zon,” katanya.

Antara zon yang diwartakan larangan merokok adalah Dataran Air Moleh Jajahan Pasir Mas, kawasan sekitar Pasar Besar Tanah Merah, Taman Tasik Krai, Tambatan Diraja dan sekitar, Kompleks Pasar Saidina Ali, Pasar Beris Kubor Besar, Terbok Tumpat dan sekitarnya.

Turut diwartakan Bandar Baru Pasir Mas, Dataran Pechong Tanah Merah, Pasaraya PKT Kuala Krai dan sekitarnya, Taman Permainan Ketereh, Padang Kemahkotaan Tumpat, Taman Permainan Dabong, Taman Tasik Gua Musang dan Gunung Stong State Park Resort Dabong. – 13 Februari 2018.