Masing-Masing Tidak Gentar Pertarungan Di Pasir Puteh

Parti politik yang bakal bersaing di kerusi Parlimen Pasir Puteh masing-masing yakin dengan kekuatannya untuk merampas kerusi tersebut  pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Biarpun akan menyaksikan pertandigan tiga penjuru, namun mereka tidak gentar untuk berdepan lawan yang bakal dipertaruhkan nanti.

UMNO yang dijangka menampilkan muka baharu dari calon berlatar belakangkan agama secara tidak langsung menjadi aura untuk mereka memerangi semua kerusi di Pasir Puteh.

Calon yang disebut-sebutkan itu hampir pasti, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising Zulkifle Ali berkata, Asyraf disukai semua masyarakat tidak kira dari parti mana.

“Kita telah isytihar beliau sebagai calon kita, dan kita sebulat suara mahukan beliau,” katanya.

Beliau berkata, pertembungan tiga penjuru memberi peluang lebih cerah kepada Barisan Nasional (BN).

Bagi penyandang kerusi berkenaan, Nik Mazian Nik Mohamad, pertandingan tiga penjuru tidak menggugat PAS untuk mempertahankan kerusi tersebut.

“Walaupun wujudnya Pakatan Harapan namun, kedudukan kita macam biasa, tidak ada yang berubah,” katanya yang memutuskan untuk tidak bertanding pada pilihan raya ini.

Tempat beliau disebut-sebut akan diganti oleh calon luar, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh.

Nik Muhammad Zawawi adalah Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS.

Pun demikian belum ada info rasmi Nik Muhammad Zawawi akan bertanding di kerusi berkenaan.

Bagaimanapun, Nik Mazian tidak menolak karisma beliau sebagai calon yang layak.

“Dia antara calon yang layak dan menepati citarasa pengundi,” katanya.

Semantara itu, Pakatan Harapan tidak gentar dengan personaliti agama yang diletakkan PAS dan UMNO.

Pakatan Harapan dijangka mempertaruhkan Ketua Penerangan PPBM, Datuk Kamarudin Md. Nor bagi merebut kerusi tersebut.

Kamarudin berkata, sokongan rakyat kepada PPBM adalah luar biasa dan ia tidak lagi menggambarkan Pasir Puteh sebagai kubu kuat PAS.

“Dulu orang menyokong kita diam-diam, tapi sekarang ini mereka mula berani untuk tunjuk sokongan,” katanya. – 13 Februari 2018.