Peningkatan Kadar Dividen KWSP Bukti Kerajaan Tidak Gagal

Kadar dividen 6.9 dan 6.4 peratus paling tinggi dalam tempoh 20 tahun yang diumumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kelmarin membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) terus memacu negara ke arah lebih baik.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Azlan Man berkata, pencapaian itu juga sekali gus menangkis dakwaan sesetengah pihak selama ini bahawa kerajaan gagal mentadbir negara dengan baik.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, kejayaan itu merupakan sesuatu yang patut dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Ini merupakan satu kejayaan besar yang patut dibanggakan sekali gus menolak dakwaan kononnya negara kita bankrap. Kalau kita bankrap bagaimana kita hendak bayar dividen yang cukup tinggi ini.

“Insya-Allah kita sedang menuju ke arah negara yang lebih baik selepas ini dengan pimpinan sedia ada,” katanya.

Kelmarin KWSP mengisytiharkan kadar dividen 6.9 peratus bagi Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan dividen sebanyak RM44.15 bilion dan 6.4 peratus bagi Simpanan Syariah dengan agihan dividen RM3.98 bilion.

KWSP dalam kenyataan berkata, jumlah keseluruhan agihan dividen bagi 2017 adalah sebanyak RM48.13 bilion, peningkatan 29.8 peratus dari 2016.

Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman dalam kenyataan itu berkata, keseluruhan prestasi 2017 merupakan tahun yang penting bagi KWSP memandangkan ia kini menguruskan dua skim simpanan dan mengisytiharkan dua kadar dividen. – 13 Februari 2018.