Pertahankan Institusi Raja

Rakyat perlu mempertahankan institusi raja demi kemuliaan dan kesucian Islam sebagai agama rasmi negara, kata Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, apa jua usaha yang memperlekehkan instuti raja harus ditangani dengan tegas.

“Kita perlu pertahankan kerana institusi raja adalah institusi yang menjaga agama Islam, kuasa agama Islam terletak di bawah institusi raja-raja Melayu.

“Institusi raja ini harus kita lihat lebih tinggi daripada segala-galanya dalam struktur perundangan dan pemerintahan negara. Dalam konteks agama Islam ini bawah kuasa raja-raja Melayu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bayaran khas kepada imam, bilal, siak, Guru Takmir dan Guru KAFA di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Beliau berkata, malangnya benteng agama Islam di negara ini, itu kini dilihat cuba diruntuhkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab dalam usaha untuk meruntuhkan kedaulatan Islam melalui institusi raja-raja Melayu.

Lebih malang lagi katanaya, cubaan itu dilakukan oleh mereka yang memahami kerangka perundangan Malaysia.

“Dan ini juga dilakukan oleh mereka yang mempunyai jawatan dalam parti-parti politik, saya kira inilah yang harus kita kekang dan tangani,” katanya. – 13 Februari 2018.