PRU14: Tidak Semua Ketua Bahagian Terpilih Sebagai Calon

Tidak semua ketua bahagian UMNO di Kelantan terpilih sebagai calon untuk dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Perkara itu telah dimaklumkan oleh pucuk pimpinan parti dan mereka diminta agar tetap setia untuk memberi sokongan kepada calon yang terpilih.

Menurut Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Hanafi Mamat, UMNO Kelantan akan mengemukakan calon-calon berkaliber dan menepati citarasa rakyat dalam usaha merampas kembali negeri itu daripada PAS.

“Calon-calon yang bakal bertanding kali ini melalui proses tapisan cukup ketat bagi memastikan mereka memenuhi kriteria sebagaimana ditetapkan oleh parti,” katanya.

Hanafi memberitahu, senarai nama calon-calon yang bakal bertanding sudah memasuki peringkat tapisan ketiga.

Katanya, UMNO Kelantan akan memberikan keadilan kepada semua pemimpin yang layak untuk diangkat sebagai calon.

“Ada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga empat, lima nama calon disenaraikan. Senarai nama ini diangkat untuk mendapat gambaran dari semua agensi yang buat kajian

“Dan apabila diumumkan calon-calon itu adalah yang terbaik,”  katanya. – 13 Februari 2018.