Pusat Peruntukkan RM11,733.00 Bayaran Khas Kepada Imam, Bilal, Siak Di Kelantan

Sebanyak 7,822 imam, bilal, siak, guru takmir dan guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) di Kelantan menerima bayaran “one-off’ diperuntukkan Kerajaan Persekutuan yang bernilai keseluruhannya RM11,733.000

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia merupakan suatu pengiktirafan terutamanya imam, bilal dan siak walaupun mereka berada di bawah pentadbiran majlis agama Islam negeri.

Beliau berkata, bayaran khas itu adalah kali pertama dalam sejarah dan ia diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2018 yang lalu.

“Setiap penerima akan menerima bayaran ini sebanyak RM1,500. Kerajaan Persekutuan mengambil tanggungjawab memberi pengiktirafan kerana sedar golongan ini memainkan peranan besar dalam meneruskan agenda memartabatkan syiar dan syariat Islam.

“Masjid perlu menjadi pusat penyatuan Islam dan seluruh komponen masjid seperti imam, bilal dan siak adalah agen penyatuan, kita boleh berbeda pegangan politik tetapi apabila melibatkan kepentingan umat Islam kita wajib bersatu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bayaran Khas ‘One Off’ kepada Imam, Bilal, Siak, Guru Takmir dan Guru KAFA negeri Kelantan 2018 di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Tambahnya, penyatuan umat Islam bermula di masjid kerana ia (masjid) adalah pusat akar umbi perhimpunan sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Bayaran tersebut dilakukan sebanyak dua kali iaitu RM1,000 pada awal tahun dan baki RM500 lagi menjelang Hari Raya Aidilfitri. – 13 Februari 2018.