Emosi, Biadap – Hanafi

Respon pembangkang berhubung penarikan balik darjah kebesaran kepada pemimpin parti politik di Kelantan baru-baru ini hanya bersifat emosi selain seolah-olah memperkecilkan institusi raja.

Setiausaha badan Perhubungan UMNO Kelantan, Senator Datuk Hanafi Mamat berkata, tidak sepatutnya komen berunsur sedemikian dikeluarkan oleh mana-mana pihak apatah lagi institusi raja mengatasi kuasa politik.

“Beberapa kenyataan berhubung tindakan itu (penarikan balik darjah kebesaran) yang kita dengar baru-baru ini berbaur emosi yang seolah-olah mahu mempertahankan kesilapan mereka.

“Dan Mahfuz (Datuk Mahfuz Omar) tidak sepatutnya bercakap seolah-olah merendah martabat raja Melayu dan tidak menghormati dan menghina institusi yang terpaksi dalam perlembagaan,” katanya.

Mahfuz, dalam satu kenyataan mendakwa penarikan balik darjah kebesaran menjadikan anugerah darjah dan bintang kebesaran sudah tidak bernilai di mata rakyat sebaliknya pemimpin kleptokrat yang ditolak rakyat dilihat masih menyandang anugerah-anugerah dan gelaran-gelaran tersebut.

Katanya, keadaan kini seolah-olah rakyat sedang melihat anugerah bintang kebesaran hanya layak diberi dan terus kekal oleh penyandangnya dari kalangan penyamun, perompak dan lanun negara.

Baru-baru ini istana Kelantan menarik balik darjah kebesaran yang membawa gelaran ‘Datuk’ terhadap dua pemimpin PAN Kelantan, Husam Musa dan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Tindakan sama turut berlaku terhadap Tun Dr. Mahathir.

Hanafi berkata, pihak istana mempunyai sebab dan alasan tertentu yang tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak kerana ia adalah hak mutlak raja dan keputusannya perlu diterima semua pihak.

“Tidak perlu pertikai. Di saat ini, perkara ini tidak perlu dipolemikkan apatah lagi untuk dikaitkan dengan politik.

“Sudah keterlaluan dan sangat biadab apabila mengatakan bintang hanya layak di anugerah kepada perompak penyamun dan lanun,” katanya. – 14 Februari 2018.