Pengundi Cina Kembali Pada BN?

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Azlan Man ketika ditanya mengenai sokongan masyarakat Cina terhadap Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) baru-baru ini dengan penuh yakin memberi jawapan bahawa golongan tersebut akan kembali bersama parti berkenaan.

Keyakinan tersebut dilihat agak ‘mencuit hati’ apatah lagi pengundi Cina pada PRU-11 dan 12 lalu menolak secara total BN malah boleh dikatakan di kawasan bandar dan kawasan ramai pengundi Cina, pembangkang terutama DAP menang dengan majoriti berpuluh ribu.

Namun selepas Azlan yang juga Menteri Besar Perlis memberi hujahnya, sememangnya ada asas keyakinan itu.

Kata Azlan, pengundi Cina boleh menilai sendiri prestasi kerajaan yang ada sekarang atau terus memilih pembangkang yang perjuangannya sendiri tidak mempunyai hala tuju jelas.

Ujar beliau, seluruh masyarakat sama ada Melayu, Cina dan kaum- kaum lain pastinya ingin melihat seorang pemimpin yang membawa Malaysia terus bergerak ke hadapan bukan kembali ke belakang.

Dan situasi itu terbukti, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terus memacu negara ke tahap yang membanggakan pada hari ini manakala pembangkang kembali ke belakang termasuk menamakan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Lebih tidak meyakinkan, Dr. Mahathir dikatakan hanya bakal menjadi Perdana Menteri sementara jika Pakatan Harapan ditakdirkan menang pilihan raya.

Dalam soal memilih Perdana Menteri pun dilihat tidak serius, bagaimana hendak mentadbir negara.

Tetapi terpulang kepada masyarakat Cina untuk menilai, sama ada terus mempercayai pembohongan pembangkang yang matlamatnya hanya ingin menjatuhkan Perdana Menteri dan BN atau berubah dengan kembali bersama kerajaan. – 14 Februari 2018.