Tidak Sepakat, Tamakkan Kuasa

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pelbagai pertikaian yang timbul mengenai pengagihan kerusi untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menunjukkan parti-parti yang membentuk Pakatan Harapan tidak sepakat dan tamakkan kuasa.

Menurut Mohd. Amar, selagi sikap tamak dan ego kerana berasakan hanya parti masing-masing paling kuat terus diamalkan, tidak mustahil pakatan tersebut akan terus berdepan pelbagai masalah selepas mereka berjaya membentuk kerajaan.

Sehubungan itu kata beliau, rakyat wajar berasa ragu-ragu untuk memilih memberikan mandat kepada Pakatan Harapan bagi mentadbir negara.

“Belum jadi kerajaan sudah berbalah tentang kerusi, dan sampai sekarang gagal selesaikan. Berbalah pula secara terbuka. Bagaimana nak jadi kerajaan baik dan berkesan jika tidak menunjukkan sikap tolak ansur dan persepakatan dalam menguruskan parti.

“Saya fikir ini semua sebab tamak kepada kerusi, masing-masing berasa diri kuat dan mahu menang kerusi lebih. Ini isu besar yang ada pada pakatan itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco Kerajaan PAS Kelantan, di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Isu pengagihan kerusi Pakatan Harapan terus didedahkan di beberapa negeri dengan yang terbaharu, di Kelantan.

Dalam sidang media kelmarin, pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kota Bharu mendedahkan rasa tidak puas hati terhadap PAN kerana mahu mendominasi semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Difahamkan, pemimpin negeri PKR, PPBM, PAN dan DAP sudah enam kali bermesyuarat dalam tempoh dua minggu ini namun tiada keputusan dibuat terhadap sekurang-kurangnya 14 kerusi DUN yang menjadi rebutan keempat-empat parti.

DAP yang dikatakan tidak relevan di negeri itu juga dilaporkan menuntuk satu kerusi dan enggan bertolak ansur dengan parti lain. – 14 Februari 2018.