Wanita Mengaku Kerabat Didakwa

Seorang wanita didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini selepas mengaku dirinya kerabat.

Shamsiah Samsudin, 44, didakwa melakukan kesalahan tersebut menerusi Facebook Tengku Cik Puan Muda Shamsiah yang menghantar komunikasi palsu dengan niat menyakitkan hati orang lain pada jam 5.31 petang, 25 April 2017.

Tertuduh bagaimanapun tidak mengaku salah ketika pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta yang sama.

Sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-dua dan denda RM1,000 bagi kesalahan berulang.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Hajarul Falenna Abu Bakar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh yang mendakwa pernah dianugerahkan Jaksa Pendamai memohon  diikat jamin.

Ahmad Bazli membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 28 Februari untuk sebutan semula kes. – 14 Februari 2018.