Pusat Memperuntukkan RM85 Juta Bina Klinik Gantian Di Kelantan

Kerajaan Pusat memperuntukkan sebanyak RM85 juta untuk projek pembinaan Klinik Kesihatan Gantian di Kelantan.

Menurut Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir, setakat ini lima klinik berkenaan sedang dalam pembinaan.

“Setiap satu klinik itu bernilai kira-kira RM5 juta.

“10 lagi klinik yang sama dalam proses kelulusan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk dibina,” katanya selepas majlis solat hajat sempena Pembinaan Klinik Kesihatan Penambang, di Pengkalan Chepa Kelantan.

Antara Klinik Kesihatan Gantian yang dalam proses pembinaan ialah di Tanah Merah, Gua Musang, Kuala Krai, Machang, Tumpat dan Pasir Mas.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pembangunan Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman berkata, ini merupakan antara usaha kerajaan bagi menjayakan projek kemudahan kesihatan rakyat.

“Seluruh rakyat Kelantan pastinya akan mendapat manfaat dari projek itu dengan selesa,” katanya. – 15 Februari 2018.