Wakil Rakyat UMNO Bantu Tamatkan Derita Haron Tinggal Di Baluh Padi

Setelah 20 tahun menanti, akhirnya impian Haron Deraman, 90, seorang warga emas  Kelantan untuk memiliki sebuah rumah yang lebih selesa tercapai.

Haron dari Kampung Baloh, Kok Lanas di Kota Bharu menerima rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan bantuan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas Datuk Md. Alwi Che Ahmad.

Sebelum ini, setelah kematian isterinya sejak lima tahun lalu dia bersama cucu serta dua cicitnya tinggal dengan serba kedaifan dalam baluh padi, iaitu tempat menyimpan padi.

“Sekarang ini, kehidupan kami lebih selesa berbanding rumah sebelum ini atap bocor serta kurang selamat untuk didiami.

“Dengan pemberian ini, kami amat berterima kasih kepada Datuk Alwi yang membantu menyegerakan pembinaan rumah PPRT ini,” katanya ketika di temui di rumahnya hari ini.

Sementara itu, Md. Alwi berkata, pihaknya telah berusaha membantu Haron mendapatkan rumah baharu setelah melihat kedaifan yang dialami mereka sekeluarga.

“Setelah menerima mesej daripada cucunya, Suraya Rosli, 29, yang memohon untuk bantuan rumah PPRT, saya telah turun padang untuk melihat keadan rumah mereka dan ternyata agak teruk.

“Oleh sebab itu, saya segera memohon bantuan rumah PPRT untuk mereka dan ini adalah salah satu daripada tiga buah rumah yang diberi bantuan segera,” katanya.

Beliau memberitahu, dalam tempoh dua tahun, pihaknya telah membantu membaikpulih lebih 500 buah rumah selain membina 20 buah rumah PPRT di kawasan DUN Kok Lanas. – 15 Februari 2018.