Peluang Calon Wanita Menang Di Kelantan Cerah

Perkembangan terkini politik di Kelantan meyakinkan Wanita UMNO negeri itu mempunyai peluang kemenangan yang lebih cerah jika diberi peluang untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

Ketua Penerangannya, Zarina Md. Eusope melihat peluang itu setelah mengambil kira senario politik yang ada sekarang ini memungkinkan  berlakunya pertandingan tiga penjuru di banyak kawasan.

Beliau berkata, Wanita dan juga Puteri UMNO di negeri itu mempunyai ramai calon berkebolehan dan mampu mengisi sehingga 30 peratus kuota daripada calon Barisan Nasional (BN).

“Pihak kami melalui Ketua Wanita UMNO negeri, Senator Datin Rahimah Mahamad sudah menghantar senarai nama untuk dipilih dan kita hanya menunggu keputusan pimpinan.

“Saya harap pucuk pimpinan dapat memberi peluang untuk kami berada di barisan hadapan kerana jika kita lihat di mana-mana bahagian pun di negeri mahupun seluruh negara yang banyak melaksanakan gerak kerja adalah Wanita dan Puteri.

“Jika berlaku perebutan kerusi tiga penjuru, pengundi biasanya memberi kelebihan kepada calon wanita,” katanya.

Pada PRU13 calon wanita hanya diberi peluang bertanding dua kerusi DUN daripada 45 kerusi di negeri itu. Kedua-duanya tewas kepada calon PAS. – 16 Februari 2018.