Pertumbuhan Ekonomi Negara Semakin Kukuh – Mustapa

Pertumbuhan ekonomi negara kini semakin kukuh dan berkembang dengan baik sebagaimana diumumkan Bank Negara baru-baru ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, perkembangan positif ini sekali gus akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat dalam negara.

“Ini semua akan memberi pendapatan kepada rakyat baik kepada golongan peniaga mahupun penjawat awam kerana dapat menikmati keuntungan hasil daripada dividen yang diperolehi.

“Malah, dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan peningkatan sebanyak 6.9 peratus diikuti Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang juga bertambah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena lawatan sehari ke rumah pemimpin dan masyarakat Cina sempena Tahun Baharu Cina di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, masyarakat Cina di Kelantan hari ini menyambut Tahun Baharu Cina 2018 dalam suasana aman, damai serta makmur.

“Sambutan kali ini lebih menceriakan. Ini membuktikan masyarakat berbilang kaum dan agama dalam negara ini sentiasa menghormati adat serta budaya masing-masing,” katanya. – 16 Februari 2018.