65 Lelaki Ditahan Ketika Sedang Berjudi Sabung Ayam

Seramai 65 lelaki dipercayai terlibat dengan kegiatan judi sabung ayam ditahan dalam Ops Limau Judi Sabung Ayam di Kebun Kelapa Sawit Tanah Licin, Kuala Ketil di kedah, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah SAC Mior Faridalathrash Wahid berkata, mereka yang berumur antara 17 hingga 60 tahun ditahan ketika pertaruhan judi itu sedang berlangsung kira-kira pukul pada 7.45 malam.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas wang tunai kira-kira RM50,000 dan 40 ekor ayam sabung serta pelbagai peralatan sabung ayam seperti taji, kelambu, ubat-ubatan ayam, khemah dan pengasah taji.

“Sebuah generator, wayar serta lampu dan dadah jenis syabu turut dirampas,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 44(1)(g) Akta Binatang 1953. – 17 Februari 2018.