Baiah Talak Tiga Akan Dimuktamadkan 24 Februari Ini

Majlis Syura Ulama PAS akan memuktamadkan lafaz talak tiga akan dikekalkan dalam sumpah baiah pada 24 Februari ini.

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin berkata, perkara itu akan dibincang secara terperinci dalam majlis itu nanti.

“Setakat yang saya dengar, ada pandangan yang rasakan perlu (sumpah baiah talak tiga) dan ada kata tidak perlu, jadi semua ini akan dibincang secara terperinci dalam mesyuarat Majlis Syura Ulama pada 24 Februari ini.

“Dan satu keputusan muktamad akan dibuat selepas itu,” katanya.

Baru-baru ini, PAS dikatakan akan menggugurkan lafaz talak tiga dalam baiah memandangkan kesetiaan ahli dan kekuatan parti itu didakwa semakin kukuh.

Lafaz baiah talak tiga hanya digunakan oleh PAS Kelantan.

Kandungan sumpah baiah itu akan diselaraskan mengikut PAS pusat.

Bagaimanapun Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Ahmad Yakob menganggap lafaz baiah talak tiga sebagai keperluan tetapi akur dengan keputusan Majlis Syura Ulama. – 17 Februari 2018.