Kongsi Kuasa Resipi Kejayaan BN

Resipi kejayaan Barisan Nasional (BN) memerintah negara sejak sekian lama adalah disebabkan pendekatan berkongsi kuasa melibatkan semua parti komponen dalam gabungan tersebut.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pendekatan BN itu jauh bezanya dengan Pakatan Harapan diketuai DAP yang dilihat terus bertelagah merebut kuasa sesama sendiri.

Katanya, sehingga kini, beliau sendiri tidak mengetahui siapa sebenarnya yang berkuasa dalam Pakatan Harapan memandangkan terlalu ramai ingin menjadi kepala.

“Di dalam BN, meskipun MCA hanya mempunyai tujuh kerusi dan MIC hanya tiga kerusi dalam pilihan raya lalu namun pemimpin mereka tetap diberikan jawatan menteri dan timbalan menteri.

“Pendekatan yang digunakan BN itu membolehkan semua berada di dalam pentabdiran kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas majlis bersama pengundi India Parlimen Arau, Perlis.

Dalam perkembangan lain, Shahidan yakin BN akan kembali mengambil alih kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Kayangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, beliau melihat DUN Indera Kayangan begitu banyak masalah seterusnya percaya rakyat khususnya pengundi Cina di kawasan itu akan kembali kepada BN.

“Selain itu, kekuatan calon yang bakal diketengahkan di kawasan berkenaan nanti juga memainkan peranan besar bagi mencapai kemenangan.

“Calon MCA yang bakal diketengahkan nanti mesti boleh diterima oleh penyokong UMNO dan pengundi Cina. Setakat ini, ada beberapa calon di kawasan berkenaan dan Perdana Menteri akan mempertimbangkan siapa yang terbaik dalam kalangan mereka nanti,” katanya. – 17 Februari 2018.