PAS Harap RCI Memali Disegerakan

PAS Perlis menggesa kerajaan supaya memandang serius tuntutan pelbagai pihak yang mahu melihat penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu Memali disegerakan.

Pada masa sama, Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd. Shukri Ramli turut berharap kerajaan dapat membuat pertimbangan menubuhkan RCI tersebut sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi mencari kebenaran berhubung peristiwa hitam yang mengorbankan 18 nyawa itu.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang itu, penubuhan RCI cukup penting kerana ia bakal membuka peluang kepada waris mangsa Memali yang masih hidup mendapat keadilan dan pembelaan sewajarnya.

“Kita sentiasa menyambut baik dan menyokong penuh cadangan penubuhan RCI ini. Isu ini (Memali) sudah lama dan tidak pernah selesai. Sudah tiba masanya ia kembali disiasat,” katanya.

Semalam sekumpulan penyokong Gagasan Sejahtera serta wakil daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan berkumpul di Masjid Masjid Seberang Jaya, Pulau Pinang bagi menuntut kerajaan menyegerakan penubuhan RCI berhubung isu Memali.

Sebelum itu, ramai pihak lain turut menyuarakan gesaan sama iaitu mahu RCI segera ditubuhkan.

Peristiwa Memali mencetuskan pertempuran antara pihak keselamatan dengan penduduk kampung yang akhirnya mengorbankan 18 orang termasuk guru agama, Ibrahim Libya berserta empat anggota polis. – 17 Februari 2018.