PH Tagih Kudrat Mahathir Tarik Sokongan Melayu

Pakatan Harapan (PH) terpaksa menagih kudrat Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi menarik sokongan orang Melayu khususnya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Presiden PAN, Mohammad Sabu berkata, walaupun mempunyai masalah kesihatan namun pemimpin veteran itu masih mempunyai pengaruh politik yang besar.

“Pembangkang kalah banyak kawasan pada PRU-13 kerana tidak dapat menarik undi Melayu dan kalau tahap sokongan masih tidak berubah maka sukarlah untuk kita mencapai kemenangan.

“Kemunculan Dr. Mahathir penting kerana kita nampak dia ada sedikit keupayaan untuk memberi keyakinan kepada orang Melayu terutama sekali menolak dakwaan bahawa pembangkang akan melantik Lim Kit Siang menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat PAN DUN Meranti di sini hari ini. – 17 Februari 2018.