Pergaduhan Dua Rakan Bertuka Tragedi

Pergaduhan dua rakan bertukar tragedi apabila kedua-duanya maut  apabila seorang daripadanya ditikam manakala seorang lagi bertindak menggantungkan diri.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi di sebuah kedai runcit di Taman Selayang Batu Caves itu, seorang lelaki warga India berusia 32 tahun dipercayai telah menikam rakan senegaranya yang berusia 51 tahun dan majikan mereka, warga tempatan berketurunan India Muslim.

Menurut sumber polis, lelaki yang dikenali sebagai Aathamsa Raja Mohammed ditemui tergantung di dalam kedai berkenaan manakala rakannya, Sahubar Ali didapati terbaring dengan kesan tikaman di tempat kejadian.

Majikan mereka, Mohammad Rasul Mohd Hanifa, 42, yang cedera parah di bahu dan kepala ditemui berhampiran kedua-dua mangsa.

Mangsa kini dirawat di Hospital Selayang manakala kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Menurut sumber itu siasatan awal polis mendapati Rasul cedera semasa cuba meleraikan pergaduhan kedua-dua pekerjanya tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad yang dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata motif kejadian masih dalam siasatan. – Bernama 18 Februari 2018.