PM Jawab Tohmahan Kerajaan Tidak Menyediakan Subsidi Kepada Rakyat

Tohmahan kononnya kerajaan langsung tidak menyediakan subsidi kepada rakyat adlaha tidak benar sama sekali dan rakyat tidak seharusnya terpengaruh dengan tuduhan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan  membelanjakan peruntukan yang besar untuk subsidi dalam pelbagai  sektor.

Menerusi catatan blognya www.najibrazak.com, perdana menteri berkata, dalam Bajet 2018, sebanyak RM3.9 bilion disediakan untuk subsidi barang dan pengangkutan seperti gas memasak, tepung, minyak masak, dan banyak lagi.

“Selain subsidi untuk barang, terdapat subsidi elektrik dan tol supaya kenaikan kadar elektrik dan tol dapat dielakkan. Kerajaan juga memperuntukkan subsidi kesihatan yang tinggi setiap tahun,” katanya.

Katanya, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM26.5 bilion untuk penjagaan kesihatan pada 2018 meskipun kutipan dalam sektor itu hanya RM600 juta.

“Ini menjadikan perbelanjaan selebihnya ditanggung penuh oleh kerajaan,” katanya.

Demikian juga tambahnya, sejak 2012, yuran wajib dikecualikan sepenuhnya di sekolah kerajaan malah, kerajaan turut membiayai kira-kira 90 peratus daripada yuran pengajian universiti.

“Contohnya, yuran program pengajian perubatan sebelum subsidi adalah sebanyak RM289,885. Namun selepas subsidi, pelajar hanya perlu membayar yuran RM9,000 sahaja sepanjang tempoh pengajian.

“Ini satu lagi contoh bagaimana subsidi pendidikan disalurkan,” katanya.

Dalam sektor perumahan pula, Perdana Menteri berkata, kerajaan menyediakan subsidi dalam bentuk bantuan deposit iaitu Skim MyDeposit dan subsidi rumah kos rendah.

“Seperti Program Perumahan Rakyat, Rumah Generasi Kedua Felda, Rumah Bina Negara Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan banyak lagi,” jelasnya. – 18 Februari 2018.