Tak Perlu Ikat Calon Dengan Baiah Kata Penganalisis

Sumpah baiah bagi mengikat wakil rakyat daripada melompat parti seperti mana dilakukan oleh PAS sudah tidak sesuai untuk diamalkan pada masa kini.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr. Ahmad Marthada Mohamed berkata, soal keluar parti telah menjadi lumrah dalam dunia politik sama ada di dalam mahu pun luar negara.

“Jika kita lihat, di negara-negara maju, amalan keluar parti ini merupakan perkara biasa. Justeru kita perlu matang dalam berpolitik.

“Kenapa kita perlu ikat seseorang dan bagi saya konsep ini tidak sesuai kerana ia hanya untuk menakut-nakutkan calon wakil rakyat dari parti itu sahaja,” katanya.

Beliau berkata, konsep baiah yang mengandungi lafaz cerai talak tiga perlu dilihat semula dalam kerangka yang lebih luas.

“Sepatutnya konsep lafaz cerai talak tiga ini tidak lagi berlaku pada abad ke-21 ini dan apa yang penting ialah parti perlu mempunyai kepercayaan kepada mana-mana individu yang diangkat sebagai wakil rakyat mereka,” katanya. – 18 Februari 2018.