Ijok: Peneroka Tidak Puas Hati

Peneroka tanah di Ijok tidak berpuas hati apabila janji rumah yang bakal dibina berubah dari spesifikasi asal.

Difahamkan, penduduk terbabit sebelum ini dijanjikan rumah jenis berangkai (semi D) namun sebaliknya berlaku sekarang ini.

Memetik laporan Berita Harian online hari ini, seorang wakil penduduk, Mohd. Fadzil Ibrahim berkata, sebelum ini mereka dijanjikan rumah jenis berangkai (semi D) namun mereka difahamkan akan menerima kediaman bersaiz lebih kecil.

“Selepas pentadbiran Kerajaan Negeri bertukar pada Pilihan Raya Umum lalu, bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ada membuat perjumpaan tertutup dengan kami memandangkan projek perumahan kami masih terbengkalai.

“Dalam pertemuan itu, Abdul Khalid mengarahkan projek perumahan kami di Puncak Alam ini dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) tetapi disebabkan berlakunya pertukaran Menteri Besar, projek itu juga tidak menjadi.

“Sekarang, lain pula jadinya. Apa yang kami pertikaikan, kenapa perjanjian dahulu, sudah berubah kerana sepatutnya rumah kami dibina di kawasan laluan utama dan semua penerima mendapat rumah jenis Semi D,” katanya sebagaimana dilaporkan.

Difahamkan, penduduk juga tidak berpuas hari berikutan saiz rumah yang kecil selain tidak dapat melihat rumah contoh.

Mohd. Fadzil berkata, peneroka juga turut mempersoalkan isu wang tunai yang sepatutnya diterima berdasarkan kepada nilai tanah ketika ini yang lebih tinggi berbanding dengan kira-kira 18 tahun lalu.

“Mengikut perjanjian pada tahun 2000, kami menerima wang tunai RM180,000 berdasarkan nilai semasa tetapi duit itu juga masih belum diterima sepenuhnya.

“Dengan nilai tanah ketika ini, sepatutnya jumlah berkenaan harus lebih tinggi dan berikutan itu kami minta Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, untuk bantu kami mendapatkan hak kami,” katanya.

Difahamkan, tanah berkenaan adalah ‘tanah anugerah’ yang diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika Selangor ditadbir Menteri Besar Tan Sri Muhammad Muhd. Taib bagi membantu golongan penduduk susah.

Seorang lagi penduduk, Adnan Kandar, 71, berkata, berasa ditindas dan ditipu kerana sepatutnya mendapat wang pampasan lebih berbanding nilai tanah pada tahun 2000.

“Sudah 18 tahun dan harga tanah di sini melambung tetapi kenapa kami tidak menerima wang sepatutnya. Malah, wang RM180,000 yang sepatutnya diberikan dahulu pun ada peneroka yang masih belum terima.

“Untuk dapat wang itu, saya terpaksa mengemis dan memanjat bangunan pejabat untuk dapatkan pampasan bagi diri sendiri,” katanya.

Semalam Barisan Nasional (BN) Selangor dan beberapa peneroka tanah di Ijok dilaporkan akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu depan berhubung transaksi dan penyerahan kembali tanah di kawasan itu oleh kerajaan Selangor yang didakwa mencurigakan.

Ketua Penerangan BN Selangor, Datuk Dr. Satim Diman, berkata beliau difahamkan beberapa peneroka meluahkan rasa tidak puas hati kerana menerima pampasan mengikut nilaian pada 2000, sedangkan tanah seluas 880 hektar itu dijual semula oleh dua syarikat terbabit kepada syarikat lain dengan harga pasaran semasa.

“Kalau penjualan tanah boleh dibuat mengikut harga pasaran, kenapa duit pampasan yang diterima peneroka iaitu kira-kira RM400 juta tidak mengikut harga pasaran.

“Peneroka tidak berpuas hati selepas mendapat tahu harga jualan tanah itu mencecah sehingga RM1.18 bilion, sedangkan pampasan dibuat mengikut harga lama.

“Jadi, baki kira-kira RM800 juta itu menjadi tanda tanya, ke mana perginya duit itu,” katanya.

Sebelum itu, Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menuntut penjelasan Azmin berhubung tindakan kerajaan negeri menyerahkan tanah bernilai RM1.18 bilion di Ijok kepada dua syarikat, Mujur Zaman Sdn Bhd dan LCBN Development Sdn Bhd pada 2016. – 19 Februari 2018.