Pakatan Harapan Berbelit-belit

Kepemimpinan Pakatan Harapan diketuai DAP bukan sahaja tidak konsisten dalam memperjuangkan sesuatu isu malah kenyataan mereka berhubung soal pelaburan dari China di negara ini juga dilihat berbelit-belit.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pemimpin dalam gabungan tersebut sering mengeluarkan kenyataan tidak selari dengan tindakan masing-masing selain selalu bermain janji yang tidak pasti.

“Mereka ini (Pakatan Harapan) ini tidak pernah konsisten, dulu kata tidak mahu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tetapi sekarang hendak buat pula. Begitu juga dengan pelaburan dari China, dulu kata kerajaan hendak jual negara, tetapi sekarang mereka pula mengalu-alukannya.

“Pakatan ini cakap atau janji tidak pernah boleh pakai. Ia berbeza dengan Barisan Nasional (BN), kita bukan sekadar janji semata-mata tetapi terus dilaksanakan dengan tindakan,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Moha­med Azmin Ali mengalu-alukan pelaburan China sekali gus bertentangan dengan pendirian Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang lantang mengkritik pelaburan langsung asing dari negara itu.

Malah sebelum itu, Mohamed Azmin dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dikatakan ke China bagi mempromosi pelabur datang ke negeri mereka.

Dalam perkembangan lain, Shahidan yang juga pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perlis berkata, pihaknya sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selain yakin dapat merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang dan Indera Kayangan.

Katanya, setakat ini, beliau sudah bertemu dengan hampir 100 peratus pengundi di negeri itu.

“Kita yakin dapat mengekalkan semua kerusi yang menang dalam pilihan raya lalu selain mengambil balik kerusi yang jatuh ke tangan pembangkang. Kita boleh menang di Sanglang dan Indera Kayangan jika tidak ada campur tangan pihak luar,” katanya. – 19 Februari 2018.