PAS Hanya Tunggu Parlimen Bubar

PAS sentiasa bersedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob berkata, PAS telah membuat segala bentuk persiapan sejak dari awal dan hanya menunggu saat Parlimen dibubarkan.

“Kita ini hanya tunggu pengumuman bila parlimen dibubarkan. Dari segi persiapan kita telah dan sentiasa bersedia,” katanya selepas majlis perasmian Pusat Latihan Wanita OKU dan Armalah (PLWOA) di Kota Bharu Kelantan hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan PRU14 sebelum Aidilfitri tahun ini.

“Kita ada tiga raya…raya Cina baru lepas…sebelum raya haji, kita ada raya puasa tapi sebelum raya puasa, kita ada satu lagi ‘raya besar’,” katanya.

Menyentuh mengenai calon PAS yang akan dipertandingkan dalam pilihan raya nanti, beliau berkata, segalanya berkemungkinan.

“Pada saat-saat akhir pun mungkin berlaku perubahan, kita tengok sahaja nanti,” katanya.

Mandat bagi penggal ini hanya akan berakhir pada 24 Jun depan dan PRU14 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh itu. – 19 Februari 2018.