“Saya Ada Rakaman Itu” – Husam

Biarpun berkali-kali dinafikan, namun pendedahan Husam Musa berhubung kerjasama PAS dan UMNO menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kian terasa bahangnya apabila Naib Presiden PAN itu mendakwa mempunyai rakaman taklimat mengenainya.

Beliau berkata, satu taklimat sulit telah diadakan secara tertutup dan beliau bersedia mendedahkan rakaman mengenai perkara itu menjelang pilihan raya ini.

“Saya ada rakaman itu dan pemimpin itu akan tahu saya benar-benar memilikinya.

“Ini kerana pemimpin berkenaan menyebut dalam rakaman itu kalau ada sesiapa bocorkan dia akan disumpah jadi abu,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Bilik Operasi Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadok di bawah Parlimen Ketereh malam tadi.

Katanya, menerusi rakaman itu jelas menunjukkan PAS telah bekerjasama dengan UMNO.

Dalam wawancara khas disiarkan lidah parti UMNO Ahad lepas, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa bahawa tindakan PAN bertanding di kerusi PAS hanya akan memberi kemenangan kepada UMNO.

Malah katana, kehadiran PAN dalam pilihan raya umum akan datang hanyalah untuk memecah-belahkan umat Islam dan mengacau undi Melayu.

“PAN (Amanah) wujud untuk memecah-belahkan umat Islam, undi Melayu dan bagi talian hayat kepada UMNO untuk menang.

“Kalau benar (Amanah) mahu lawan UMNO, kenapa sibuk masuk kerusi PAS yang menjadi tradisi pertandingan UMNO-PAS sejak puluhan tahun?” katanya.

PAN dikatakan akan bertanding 27 kerusi Parlimen yang sebahagian besarnya di kerusi milik PAS.

PAS pula meletakkan keyakinan untuk memenangi 40 kerusi dan berhasrat untuk menjadi kuasa penentu bagi parti yang mahu membentuk kerajaan. – 19 Februari 2018.