‘Wake-Up Call’ Lepada MCA

MCA Perlis optimis masyarakat Cina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Kayangan akan kembali menyokong Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sekali gus merampas semula kerusi berkenaan daripada PKR.

Naib Pengerusi MCA negeri, Chuah Tian Hee berkata, pihaknya yakin separuh daripada 80 peratus pengundi Cina yang menyokong pembangkang pada pilihan raya lalu kembali kepada BN berdasarkan kepada kerja keras parti tersebut sepanjang tempoh lima tahun ini.

Dalam masa sama, beliau juga percaya pengundi Cina khususnya sudah mula sedar kegagalan pembangkang membela nasib mereka di kawasan tersebut.

“Kekalahan pada pilihan raya lalu memberi pengajaran dan bagaikan satu wake-up call kepada MCA untuk terus bekerja keras bagi mendapatkan kembali sokongan masyarakat Cina.

“Kekalahan pada pilihan raya lalu juga disebabkan pengundi terikut-ikut trend beralih arah kepada pembangkang selain terpedaya dengan dakyah pembangkang.

“Selain itu, mereka juga sedar, kemenangan pembangkang hanya di satu kerusi di kawasan Parlimen Kangar itu tidak mampu membantu masyarakat Cina,” katanya.

Pada PRU-13, buat pertama kalinya kerusi DUN Indera Kayangan yang menjadi kubu kuat BN selama ini jatuh ke tangan pembangkang.

Calon BN ketika itu, Por Choo Chor tewas kepada Chan Ming Kai dari PKR dengan majoriti 1,092. – 19 Februari 2018.