Kelirukan Rakyat Dengan Tuduhan Tidak Berasas

Pembangkang cuba mengelirukan rakyat ketika mendakwa kononnya kedaulatan negara tergugat dengan hubungan dua hala antara Malaysia dan China.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dakwaan tersebut merupakan satu tuduhan yang sama sekali tidak berasas.

“Pembangkang sendiri sedar bahawa pelaburan dari negara berkenaan sebenarnya amat penting. Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang pernah ke negara China untuk mempromosikan pelaburan malah, mereka mengeluarkan kenyataan menyokong pelaburan China di Malaysia.

“Kadang-kadang di peringkat atas mereka menyokong tetapi di bawah mereka kempen menghentam. Pemimpin mereka hanya lidah bercabang dan cakap tak serupa bikin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou)

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) MyIBS Sdn. Bhd. dan Persatuan Kontraktor Perumahan Kelantan (PKPK) di Kota Bharu hari ini.

Akhbar semalam melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak akan membenarkan sebarang percubaan merosakkan hubungan strategik itu.

Bagi Najib, tuduhan pembangkang itu hanya bertujuan untuk menyemai kebencian rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, Malaysia perlu mengambil kesempatan untuk meningkatkan lagi hubungan yang sedia terjalin memandangkan China adalah kuasa ekonomi kedua terbesar dunia ketika ini.

“Dakwaan pembangkang bahawa hubungan Malaysia dan China akan menggugat kedaulatan negara adalah tidak berasas kerana kita adalah negara merdeka.

“Kita ada Parlimen, ada Dewan Rakyat, ada Dewan Negara, ada Bank Negara, dan institusi-institusi ini akan bertindak untuk mempertahankan kedaulatan negara,” katanya. – 25 Februari 2018.