Kerajaan PAS Kelantan Hanya Akan Turun Jika Ada Keperluan

Isu sekatan, kerajaan PAS Kelantan memberitahu mereka hanya akan turun berjumpa dengan masyarakat Orang Asli di Gua Musang sekiranya ada keperluan.

Terlebih dahulu mereka akan meneliti laporan daripada agensi berkaitan seperti Jabatan Perhutanan negeri berhubung perkara itu.

Menurut Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, adalah tidak wajar untuk mempercayai sepenuhnya kenyataan Orang Asli mengenai kemusnahan hutan yang disiarkan dalam laporan akhbar semata-mata.

“Betul lah kita tidak turun. Takkanlah bila sesuatu berlaku kita kena turun. Kita perlu tahu cerita dahulu, kemudian baru kita tahu perlu atau tidak kita turun.

“Sekarang kita hantar dahulu Jabatan Perhutanan yang akan buat laporan, selepas itu kalau perlu sama ada Menteri Besar atau saya sendiri akan turun ke sana.

“Kita perlu ingat lesen dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan yang ada peraturan pembalakan yang mesti dipatuhi dan mempunyai penguatkuasa.

“Begitu juga Jabatan Alam Sekitar yang memantau setiap projek pembangunan hutan yang mana berdasarkan pengalaman sebelum ini mereka akan segera keluarkan perintah henti kerja jika ada pelanggaran,” katanya.

Minggu lalu penduduk Orang Asli membuat sekatan di tiga lokasi iaitu Cawas, Tohoi dan Kuala Wok, Gua Musang bagi menghalang pembalakan yang didakwa tidak terkawal.

Susulan itu kerajaan PAS Kelantan dikatakan tidak turun padang untuk menyelesaikan isu pembalakan di penempatan mereka.

Pada Rabu lalu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim turun melawat kawasan sekatan tersebut.

Mohd. Amar berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan semua agensi termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk menyelesaikan sebarang masalah dan keperluan masyarakat itu.

“Kerajaan negeri sejak dahulu lagi tidak pernah kesampingkan peranan agensi termasuk JAKOA yang menjadi tempat yang selalu kita rujuk,” katanya. – 25 Februari 2018.