Mansuh Tol Bukti PM Prihatin

Kesediaan kerajaan Barisan Nasional (BN) memansuhkan lebih banyak tol pada masa depan membuktikan keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sama sekali tidak mampu dilaksanakan oleh pemerintah terdahulu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ternyata Perdana Menteri cukup memahami realiti kehidupan rakyat khususnya di kawasan bandar yang begitu terbeban dengan sistem bertol selama ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis berkata, apa yang pasti, hasrat untuk memansuhkan lebih banyak tol itu akan disambut gembira oleh seluruh rakyat negara ini.

“Kami (UMNO Perlis) sangat menyokong hasrat ini (mansuhkan tol). Ini sesuatu yang luar biasa yang pemerintahan sebelum ini tidak mampu buat.

“Saya yakin, hasrat tersebut mampu direalisasikan menerusi perancangan yang berhemah oleh kerajaan,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri yang memberi gambaran kerajaan pimpinannya bersedia untuk memansuhkan lebih banyak tol di jalan-jalan di negara ini pada masa depan.

Najib ketika sesi perkongsian #Bajet 2018 Bersama Rakyat Mengenai Kesejahteraan Isi Rumah di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dilaporkan berkata, secara peribadi beliau sendiri tidak suka kepada sistem bertol dengan menyifatkannya sebagai ‘menyakitkan hati’ dan menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas. – 25 Februari 2018.