Pakatan Harapan Bankrap Idea

Pemimpin Pakatan Harapan diketuai DAP disifatkan sebagai terdesak dan bankrap idea apabila menjadikan soal pemakanan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai modal politik untuk menyerang Perdana Menteri itu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, tidak ada salahnya Najib mengambil bijirin quinoa untuk hidangan hariannya memandangkan makanan tersebut adalah sebahagian daripada rejim diet sihat yang diamalkan oleh beliau.

Katanya, tindakan pembangkang yang mengkritik Najib dalam soal tersebut dilihat sebagai tidak cerdik.

“Apa salahnya Perdana Menteri mengamalkan bijirin quinoa jika ia baik untuk kesihatan. Ini (kritik Perdana Menteri) adalah kerja orang bodoh.

“Pembangkang ini sampai tidak ada modal lain. Ini belum bertanding pilihan raya sudah bankrap idea,” katanya.

Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian sebagai mengulas tindakan pemimpin pembangkang mengkritik Najib yang didakwa mengamalkan bijirin quinoa untuk hidangan harian Perdana Menteri itu.

Bagaimanapun Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan semalam menjelaskan Najib tidak mengambil bijirin quinoa sahaja untuk hidangan harian beliau seperti yang didakwa oleh pemimpin Pakatan Harapan diketuai DAP. – 25 Februari 2018.