Penerima BR1M Di Negeri Pembangkang Yang Tertinggi

Penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) di negeri yang ditadbir kerajaan pembangkang adalah yang tertinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menerusi blog http://www.najibrazak.com. hari ini beliau berkata, bantuan tersebut bukan ‘gula gula’ kerajaan untuk membeli undi sebaliknya negeri-negeri yang ditadbir pembangkang adalah merupakan penerima tertinggi BR1M.

“Kalaulah, misalnya BR1M ini kerajaan laksanakan untuk beli undi, sepatutnya kita hanya bagi kepada puak-puak kita sahaja.

“Tetapi hakikatnya, semua yang layak dapat BR1M termasuk di negeri ditadbir pembangkang. Malah, negeri ditadbir pembangkang adalah penerima tertinggi BR1M! Kita pilih penerimanya bergantung kepada pendapatan,” katanya.

BR1M yang akan diberikan kerajaan bermula esok akan dinikmati semua rakyat yang layak termasuk mereka dari negeri-negeri yang ditadbir pembangkang.

Kira-kira 7.2 juta isi rumah dan individu bujang yang berkelayakan akan mula menerima BR1M secara berperingkat mulai esok. – 25 Februari 2018.