Slogan Ubah DAP Sudah Tidak Relevan

MCA percaya pengundi Cina sudah tidak lagi yakin dan percaya dengan DAP selepas slogan ubah atau tukar kerajaan yang dilaungkan mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ( PRU-13) tidak menjadi kenyataan.

Justeru, veteran MCA, Datuk Oui Ah Lan yakin masyarakat Cina akan kembali menyokong Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 termasuk di negeri Perlis, iaitu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Kayangan yang jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya lalu.

Katanya, sudah beberapa kali slogan ubah itu dilaungkan namun sehingga saat ini, pembangkang masih belum mampu membentuk kerajaan dan impian tersebut dijangka terus berkubur pada PRU-14.

“Pilihan raya lalu angin bertiup kencang kononnya hendak tukar kerajaan sehingga menyebabkan pengundi Cina khususnya sepakat memilih pembangkang. Kali ini hendak ubah apa lagi, setelah cuba beberapa kali sebelum ini gagal,” katanya.

Sementara itu, Oui berkata, tindakan pengundi Cina yang menyokong pembangkang di Indera Kayangan dalam pilihan raya lalu dilihat memberi kesan kepada mereka hari ini.

Kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan itu, kemenangan pembangkang hanya di satu kawasan di Perlis tidak akan mampu untuk membantu membela nasib mereka.

“Pembangkang tidak mampu untuk memberi khidmat berkesan kepada rakyat. Pengundi perlu sedar hakikat ini,” katanya.

Katanya lagi, beliau yakin BN akan kembali merampas DUN Indera Kayangan pada pilihan raya nanti selepas melihat usaha keras MCA sepanjang tempoh lima tahun ini bagi menarik kembali sokongan pengundi khususnya masyarakat Cina.

Dalam masa sama, katanya, calon yang diletakkan di kerusi itu nanti juga bakal memainkan peranan besar dalam menentukan kemenangan BN di situ. – 25 Februari 2018.