Kerajaan Akan Semak Semula Kelulusan Pembalakan Di Gua Musang

Kerajaan PAS Kelantan mungkin akan menyemak semula kelulusan pembalakan di kawsan Hutan Simpang Gunung Stong Selatan di Gua Musang.

Tindakan itu dilihat selepas melalui beberapa siri bantahan oleh masyarakat Orang Asli berhubung kegiatan pembalakan tidak terkawal di jajahan berkenaan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, ia bagaimanapun masih tertakluk kepada laporan lengkap daripada Jabatan Perhutanan.

Menurut beliau, pegawai Jabatan Perhutanan tidak dapat memasuki kawasan yang didakwa berlaku kemusnahan untuk melakukan siasatan lanjut kerana dihalang oleh masyarakat Orang Asli.

“Kita sudah terima laporan awal tetapi dakwaan Orang Asli bahawa berlakunya pemusnahan hutan tidak boleh disahkan sebab bila pegawai Jabatan Perhutanan nak masuk mereka tidak dibenarkan jadi mereka tidak boleh buar penilaian betul atau tidak betul dakwaan itu.

“Bagaimanapun pihak Jabatan Perhutanan memberi cadangan kepada kerajaan untuk menyemak semula kelulusan pembalakan yang dibangkitkan oleh Orang Asli itu sebab kawasan itu agak sensitif.

“Kerajaan akan timbang tetapi kita nak dapat laporan lengkap bahawa benda (kemusnahan) ini benar-benar serius, setakat mana pencemaran sungai misalnya cuma kita memang ambil kira suara-suara Orang Asli itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian dermasiswa Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Kelantan (Purnama) di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Penduduk Orang Asli telah membuat tiga sekatan di kawasan Hutan Simpan Gunung Stong Selatan sejak minggu lalu sebagai bantahan terhadap penerokaan hutan serta tanah adat mereka bagi tujuan pembalakan, projek perladangan dan penanaman durian ‘Musang King’.

Lokasi tiga sekatan berkenaan adalah di Cawas di Pos Bihai, Gua Cha dekat Pos Tohoi dan Pos Pasik.

Sebelum ini Kerajaan PAS Kelantan menyatakan kerajaan hanya akan turun ke lokasi terbabit bagi menemui masyarakat berkenaan sekiranya mendapati ada keperluan.

Mohd. Amar berkata, adalah tidak wajar untuk mempercayai sepenuhnya kenyataan Orang Asli mengenai kemusnahan hutan yang disiarkan dalam laporan akhbar semata-mata.

“Betul lah kita tidak turun. Takkanlah bila sesuatu berlaku kita kena turun. Kita perlu tahu cerita dahulu, kemudian baru kita tahu perlu atau tidak kita turun.

“Sekarang kita hantar dahulu Jabatan Perhutanan yang akan buat laporan, selepas itu kalau perlu sama ada Menteri Besar atau saya sendiri akan turun ke sana,” kata Mohd. Amar. – 26 Februari 2018.