Minta Derma Hanya Lakonan Dr. Mahathir

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyifatkan tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz yang merayu orang ramai untuk menderma kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah sebagai lakonan semata-mata.

Katanya, Dr. Mahathir sebenarnya tidak mempunyai masalah dalam mendapatkan sumber kewangan membantu PPBM bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) memandangkan keluarga bekas Perdana Menteri itu cukup kaya.

Selain itu katanya, Dr. Mahathir juga sudah pastinya akan dibantu oleh tokoh korporat yang mempunyai hubungan dan kepentingan dengannya.

“Ini (minta derma) semuanya lakonan sahaja. Bukan kita tidak tahu keluarga ini (Dr. Mahathir) banyak duit dan tokoh korporat yang pernah diberi peluang oleh Dr. Mahathir sehingga menjadi bilionair satu masa dahulu sudah tentu akan membantu dalam soal kewangan.

“Malah sampai ke majlis hari jadi Dr. Mahathir , mereka ini (tokoh korporat) sanggup membelanjakan satu hingga dua juta setiap tahun, inikan pula hendak membantu dalam pilihan raya, mereka pasti akan bantu.

“Sebab itu saya kata, Dr. Mahathir ini tidak mempunyai masalah daripada sumber kewangan. Ia cuma drama dan lakonan untuk menunjukkan bahawa PPBM tidak ada duit,” katanya.

Baru-baru ini, Dr. Mahathir dan Mukhriz muncul dalam klip video dengan muka sedih dan suara pilu merayu orang ramai untuk menderma kepada PPBM bagi menghadapi PRU-14.

Bagaimanapun tindakan dua beranak itu mendapat kecaman daripada pelbagai pihak yang sedia maklum bahawa keluarga Dr. Mahathir adalah kaya-raya.

Dalam masa sama, bekas Setiausaha Kerja PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman selepas itu turut tampil mendakwa bahawa terdapat tokoh korporat tempatan berstatus biĀ­lionair sedia membantu parti itu.

Sementara itu, Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dan percaya dengan ‘drama’ Dr. Mahathir itu. – 26Februari 2018.