PAS Lancar Manifesto PRU14 Kedah

PAS bersama rakan strategik mereka dalam Gagasan Sejahtera malam tadi melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) khusus untuk Kedah.

Pelancaran manifesto itu disempurnakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut di Alor Setar.

Hadir sama, Timbalan Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Brig Jeneral (B) Datuk Hashim Abd. Karim dan Timbalan Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Dr. Samarudin Md. Rejab dan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin.

Manifesto bertemakan ‘Penyelesaian Untuk Kesejahteraan Rakyat’ itu mengandungi 15 agenda teras, antara lain merangkumi pentadbiran, hal ehwal agama, pendidikan, kebajikan, ekonomi, air dan tanah perumahan, pembangunan wanita dan keluarga, belia dan pembangunan insan, integrasi kaum, keselamatan dan alam sekitar.

PAS Kedah sebelum ini mengumumkan akan bertanding di semua 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Pada pilihan raya umum lalu PAS menang di sembilan kerusi DUN namun kurang satu kerusi apabila ADUN Anak Bukit Datuk Amiruddin Hamzah mengumumkan keluar parti itu dan menyertai Parti Bersatu Pribumi Malaysia.

Bagi kerusi Parlimen pula, kerusi tunggal parti itu yang sebelum ini diwakili Datuk Mahfuz Omar, juga kini tidak lagi bersama PAS dan menjadi anggota Bebas. – Bernama, 26 Februari 2018.