Pengerusi BN Tentukan senarai akhir Calon

Senarai akhir calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) hanya akan ditentukan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri akan membuat penentuan itu selepas mengadakan rundingan bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri selaku pengerusi BN negeri.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, khabar angin yang mengatakan senarai calon itu sudah bocor adalah sesuatu yang biasa.

“Kita tidak boleh hentikan spekulasi dan kita tak mampu untuk menutup mulut tempayan walaupun mulut tempayan boleh ditutup.

“Namun, kita harus akur dengan calon-calon yang dimuktamadkan akhir nanti oleh PM,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Ekspo Terengganu 2018.

Mengulas mengenai ramai yang bercita-cita untuk menjadi calon  pada PRU14 nanti, sambil berseloroh beliau berkata, angan-angan tidak perlu dibayar.

Katanya, BN mempunyai kaedah bagi pemilihan calon dan bukan berdasarkan angan-angan.

“Uji kaji yang pihak kami lakukan adalah berdasarkan kriteria siapakah individu yang disenangi oleh para pengundi dan ada daya kemenangan pada calon berkenaan, disamping mempunyai daya masa depan yang dapat menjaga kepentingan para pengundinya.

“Kita nak mewujudkan rasa kekitaan di kalangan wakil rakyat yang boleh diketengahkan di peringkat negeri dan peringkat nasional dan ini kriteria yang diambil bagi calon pilihanraya kita kali ini, ” katanya. – 27 Februari 2018.