PRU14: PH Guna Satu Bendera

Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini bersetuju menggunakan satu bendera dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Ini berikutan pendaftaran gabungan itu sehingga ini masih belum dapat kata putus daripada Pendaftar Persatuan (RoS).

Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, semua empat parti dalam PH menyatakan kesediaan menggunakan salah satu logo parti dalam gabungan itu dalam PRU14 nanti.

Komponen PH terdiri daripada PKR, Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), DAP dan PAN.

“Kita boleh menggunakan logo atau simbol daripada empat parti kita… kecualilah RoS jadi pemurah.

“Mereka hingga kini takut dengan kita sehingga sampai sekarang tak luluskan pendaftaran (PH),” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden di Petaling Jaya hari ini. – 27 Februari 2018.