RM6.5 Juta Untuk Pasir Mas

Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM6.5 juta bagi membantu menyediakan kemudahan kepada masyarakat di Pasir Mas, Kelantan.

Peruntukan itu bertujuan membaik pulih dan bina baharu rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR), naik taraf serta pembinaan masjid dan bantuan kepada ibu tunggal.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sepetang Bersama Rakyat di Tendong semasa lawatan kerja seharinya ke negeri itu Sabtu lepas.

Ahmad Zahid berkata, peruntukan tersebut bagi memenuhi permintaan yang dikemukakan oleh Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Senator Datuk Hanafi Mamat.

“Permintaan ini merangkumi bantuan untuk ibu tunggal, baik pulih dan bina baharu rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR), naik taraf serta pembinaan masjid.

“Saya luluskan peruntukan besar ini dengan tujuan untuk memastikan kawasan Parlimen Pasir Mas menjadi milik BN pada PRU14 termasuklah tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya,” katanya.

Peruntukan yang disalurkan itu bagi membina Masjid Mukim Bunut Susu yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM4 juta, Masjid I’tikaf Atas Pinggir (RM1 juta), bantuan ibu tunggal (RM500,000) dan selebihnya baik pulih serta bina baharu rumah di bawah PPR.

Beliau berkata, rakyat Kelantan akan menerima lebih banyak manfaat sekiranya mereka memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) mentadbir Kelantan pada pilihan raya umum nanti.

“Justeru, sudah tiba masanya rakyat Kelantan memilih BN untuk mentadbir negeri ini,” katanya. – 27 Februari 2018.